Demi Masa! … Kenapa Allah Bersumpah Dengan Masa?

2 min


 

“Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian; Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran”.

– Surah Al-Asr : 1-3 –

 

Dalam surah di atas, Allah Taala telah bersumpah dengan masa, kerana di sisi-Nya terdapat pertukaran malam dan siang, terang dan gelap.

Dan orang-orang yang dilalaikan dengan urusan duniawi semata, mereka sebenarnya berada dalam kerugian.

Namun tidak bagi mereka yang sentiasa menyeimbangkan antara urusan duniawi dan ukhrawi, mereka adalah orang-orang yang beruntung dan tidak tergolong dalam golongan yang rugi.

Mereka juga saling menyampaikan kebenaran dan hal kebaikan dan sentiasa sabar dalam segala hal (amar makruf nahi munkar).

Kenapa Allah bersumpah dengan masa?

Kerana Allah ingin menegaskan bahawa masa itu akan sentiasa berjalan dan tidak akan berpatah balik.

 

Masa itu terlalu suntuk.

Sebab itulah ruginya manusia yang tidak menguruskan masanya dengan baik terutamanya ke arah kebaikan, untuk dirinya dan orang lain.

Salah satunya adalah sifat bertangguh.

 

Bertangguh

 

Kita berniat untuk bangun malam bertahajud, berdoa dan bermunajat.

Kita terjaga di sekitar jam 2.30 pagi. Hati berbisik, “sekejap lagi …”

Alahai, kita tertidur nyenyak tetapi masih disedarkan sejam kemudian.

“Sekejap lagi …”

Akhirnya kita bingkas bangun ketika masjid (surau) berhampiran sudah selesai berjemaah.

 

Pernahkah ia berlaku kepada kita?

Kita sedapkan hati dengan berkira, “Tidak mengapa … esok masih ada.”

Lalu kita renung diri. Pernah kita berjanji untuk lebih hampir kepadaNya selepas bersara?

Tidak mahu tinggalkan solat berjemaah di masjid (lelaki) bila memikirkan Baginda SAW mahu “membakar” rumah mereka yang tidak hadir ke rumahNya.

Pernah kita berkira-kira mahu menutup aurat dengan sempurna selepas tiada kerjaya?

 

Kita masih bertangguh. Masa bergerak pantas.

Kita melihat diri lalu bertanya, “Kenapa masih serupa?” Sungguh … DIA telah nyatakan:

Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (Al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)?

 

“Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras dan banyak di antaranya orang-orang yang fasik (derhaka).”

– Surah al-Hadid : 16 –

 

Kita kenang diri dengan masa untuk bertangguh semakin tiada.

Ya Allah … lembutkanlah hati-hati kami.

 

Sumber : UMKI Resources

 

2 jenis masa yang tidak berkat.

  1. Tiada masa
  2. Buang masa

Masha Allah.

Kalau kita bisa menoleh kebelakang dan melihat berapa banyak pembaziran masa yang telah kita gunakan sepanjang hidup kita, pasti kita mahu kembali dan perbetulkan semuanya.

Ayuh semua, bangkit daripada lena dan masa yang panjang.

Gunakan masa yang ada ini untuk perkara-perkara yang bisa mendatangkan kebaikan untuk diri dan manusia lain, untuk dunia wal akhirat.

Kejarlah masa kerana masa tidak akan menunggu kita.

Wallahu A’lam

 

 


What's Your Reaction?

cute cute
1
cute
lol lol
0
lol
angry angry
0
angry
love love
17
love
omg omg
0
omg
cry cry
15
cry

0 Comments

Your email address will not be published. Required fields are marked *