Bagaimana Caranya Menjadi “Bunga” Yang Unik?

3 min


Setiap dari kita pasti mempunyai satu atau lebih ‘quote’ yang sangat memberi makna dalam kehidupan sendiri, terutama apabila ia sebagai salah satu alat untuk memotivasikan diri sendiri.

Che Happy juga begitu. Apabila terbaca satu-satu ‘quote’, Che Happy akan tulis, simpan dan baca semula sebagai salah satu cara untuk Che Happy termotivasi.

Salah satu ‘quote’ yang Che Happy akan share pada anda melalui nota kali ini adalah kata-kata daripada Mufti Ismail Menk, seorang penceramah terkenal dunia Islam,

“Looking at what others have that I don’t, can make me ungrateful, but looking at what I have that they don’t, can make thankful.”

Zappp!!!

Sentap? Terkesan di hati?

Acapkali kita melihat kehidupan orang lain lebih sempurna, lebih bahagia berbanding kehidupan kita sendiri. Melihat rumput di halaman jiran tetangga lebih hijau daripada rumput di halaman sendiri yang kering.

Pasti persoalan-persoalan seperti dibawah pernah terlintas di hati dan fikiran kita :

Mengapa orang yang cantik dan kacak lebih diberi perhatian untuk berkawan dan disenangi berbandng orang yang kurang paras rupanya?

Mengapa aku tidak mempunyai kelebihan berkomunikasi yang membuatkan orang mendengar setiap perkataan aku seperti dia yang hebat berkata-kata?

Sedarkah anda bahawa perbandingan ini yang menjerumuskan diri ke jalan kesedihan yang menyebabkan adanya sifat cemburu, rasa rendah diri, stress dan kemurungan.

Ringkasnya, membuat perbandingan dengan orang lain akan membawa anda ke jalan kegagalan.

Mengapa Membandingkan Diri Anda Dengan Orang Lain?

1. Anda hanya melihat hasilnya, bukan usaha.

Apabila anda melihat kejayaan sesorang, anda hanya melihat hasilnya sahaja. Kejayaan yang mereka perolehi sekarang adalah asbab usaha dan kerja keras mereka selama bertahun-tahun.

Dan untuk memperolehi kejayaan yang anda inginkan, anda perlu berada dan berjalan di jalan kejayaan.

2. Anda unik.

Setiap daripada kita adalah unik, diciptakan oleh Allah SWT berbeza-beza dengan kelebihan dan kekurangan yang berlainan.

Jangan sesekali bandingkan keunikan kita dengan keunikan yang ada pada orang lain. Ia takkan sama. Kita semua istimewa dengan cara unik kita.

3. Anda bukan mereka.

Membandingkan diri anda dengan orang lain bermakna anda membandingkan apa yang anda lihat pada orang lain dengan apa yang anda tahu tentang diri anda.

Anda sudah tertipu.

Sebenarnya, kebanyakan perkara yang ditonjolkan kepada orang luar tidak sama dengan realiti yang sebenarnya. Ramai orang akan meletakkan perkara yang baik di depan, menjadikan diri mereka kelihatan baik dan hebat di mata dunia.

Namun, anda tidak akan pernah tahu di sebalik tabir setiap kehebatan dan kebaikan yang mereka tonjolkan itu – kesusahan dan kesukaran mereka.

4. Anda hanya membuang masa.

Membandingkan diri anda dengan orang lain hanya akan menyebabkan masa anda terbuang begitu sahaja. Sedang anda sibuk membuat kira-kira dan perbandingan hidup yang tiada kesudahan, mereka sudah pun berada di puncak kejayaan.

Jadi, mengapa bazirkan masa dan tenaga memikirkan kejayaan orang sedangkan anda boleh mengambil tindakan dan peluang untuk memperbaiki diri?

 

Bagaimana Cara Berhenti Membandingkan Diri Dengan Orang Lain?

Bukanlah suatu perkara yang bijak apabila kita membandingkan kehidupan kita dengan orang lain, namun kebijaksanaan itu adalah apabila kita belajar dari kisah kehidupan mereka dan dijadikan inspirasi.

Ada beberapa cara bagaimana kita boleh berhenti membandingkan kehidupan kita dengan orang lain. Antaranya :

 

1. Tukar Persepsi Ideal Kepada Kemanusiaan

Tukar persepsi dan sudut pandangan anda yang sebelum ini kepada sudut pandangan yang baru. Jangan hanya melihat kejayaan dan kebahagiaan seseorang itu pada satu sisi tertentu sahaja.

Sebagai contoh, dari segi persepsi ideal, anda mempunyai bos yang lebih muda daripada anda, mempunyai banyak duit dan kerjaya yang hebat.

Namun, apabila anda tukar kepada persepsi kemanusiaan, bos anda mungkin seorang yang ‘workaholic’, tiada kehidupan sosial dan sering mengalami tekanan. Dia mungkin berjaya tapi tidak bahagia.

2. Bersyukur Dan Berterima Kasih

Bersyukur adalah satu konsep penting yang banyak orang terlepas pandang. Apabila anda bersyukur atas perkara yang telah anda capai, bermakna anda juga telah mengakui kejayaan anda.

Bersyukur dan berterima kasih bukan sahaja pada diri sendiri, namun kepada orang-orang luar yang membantu anda sepanajng menempuh jalan kejayaan.

“Tidak dikatakan bersyukur pada Allah bagi siapa yang tidak tahu berterima kasih pada manusia.”

(HR. Abu Daud dan Tirmidzi)

Salah satu cara terbaik untuk melahirkan rasa syukur adalah dengan menulis diari – “Diari Syukur”. Kita boleh tulis apa kejayaan yang telah kita kecapi pada setiap hari. Apa pengajaran yang boleh diambil dan dibanggakan?

Diari Syukur merupakan antara satu alat refleksi diri yang terbaik untuk kesihatan mental dan kebahagiaan.

Hal ini kerana kita sukar dan kurang merasa tertekan apabila kita sering mengingatkan semua perkara terbaik yang pernah kita jalani dalam hidup.

3. Menyedari Hidup Bukanlah Persaingan

Kehidupan bukanlah semata-mata untuk dimenangi. Kehidupan adalah untuk dinikmati dan menikmati.

Kejayaan seseorang dalam sesuatu aspek kehidupan adalah sebab mereka pernah gagal dalam aspek kehidupan yang lain dan pengajaran itu yang menjadikan siapa mereka sekarang.

Ingat! Hidup ni bukanlah pertandingan. Hidup adalah perjalanan.

4. Bandingkan Diri Kita Yang Semalam

Daripada kita sibuk membandingkan kehidupan orang lain, kan lebih bagus jika kita membandingkan diri kita yang semalam.

“Beruntunglah orang yang hari ini lebih baik dari semalam, rugilah orang yang sama keadaannya hari ini dengan semalam dan celaka lah orang yang hari ini lebih teruk dari semalam”

–Saidina Ali-

Jadikan setiap hari yang berlalu itu sebagai kayu pengukur kepada peningkatan diri kerana kehidupan kita itu akan sentiasa berkembang, sentiasa berjalan.

 

Jadi, renunglah sejenak dan berfikir. Kita semua ada keistimewaan yang tersendiri. Kita semua ada jalan kehidupan yang telah Allah aturkan mengikut kebijaksanaan-Nya.

Jangan melihat kelebihan orang melebihi kelebihan sendiri. Kita akan sentiasa rasa kecewa. Lihatlah ia sebagai anugerah Allah kepada hamba-Nya yang lain.

Percayalah, Allah Itu Maha Adil Lagi Maha Mengetahui.

Jalani kehidupan sekarang dengan tenang dan bahagia.

Jadilah “bunga” yang terus ingin berkembang mekar tanpa ingin bersaing dengan bunga di sebelahnya.

Boleh boleh?


What's Your Reaction?

cute cute
0
cute
lol lol
0
lol
angry angry
0
angry
love love
12
love
omg omg
0
omg
cry cry
1
cry

0 Comments

Your email address will not be published. Required fields are marked *